Perkataan rahmat yang digunakan dalam bahasa kita berasal dari bahasa Arab.
Rahmah
dari kata
rahima yang bermaksud kasih atau kasihan belas. Dari
perkataan ini lahirnya perkataan rahim (
womb), perkataan
ar-Rahman
dan
ar-Rahim dari akar rahima ataupun rahmat dalam bahasa kita dan
lain-lain lagi.
Hidup ini dibina atas cinta dan rahmat. Tanpa cinta dan kasih hancurlah
kehidupan. Justeru surah-surah dalam al-Quran kesemuanya
–kecuali Surah
at-Taubah- bermula dengan
basmalah iaitu ‘
dengan nama Allah
ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) Lagi ar-Rahim (Maha Penyayang)’. Hubungan
Tuhan dengan manusia serta alam keseluruhannya berasaskan cinta dan kasih.
Hubungan manusia dengan Tuhan juga berasaskan cinta dan kasih. Mencintai Tuhan
adalah asas dalam keimanan. Sesiapa yang membenci Tuhan maka dia tidak beriman.
Dakwah Atas Rahmat
Tuhan jadikan belas kasih dan sayang sebagai asas kehidupan yang sejati.
Ketika membicarakan tentang Nabi Muhammad s.a.w, Allah menyebut: (maksudnya)
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu
sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung
oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula kepada
orang-orang yang beriman sangat belas sayang dan sangat rahmat (kasih) (Surah
at-Taubah, 128).
Ertinya, dakwah Nabi s.a.w tidak bermula kebencian kepada mana-mana kumpulan
yang tidak melancar permusuhan kepada ajaran Allah. Tidak seperti anggapan
bahawa kebencian adalah asas hubungan antara muslim dengan Barat ataupun Timur,
dengan Yahudi ataupun Kristian, dengan
secularist ataupun
agnostic
ataupun selain mereka. Asas hubungan muslim dengan pihak lain bukan dengan
slogan ‘permusuhan’ ataupun ‘kebencian’ seperti yang difahami oleh sesetengah
pihak. Sebaliknya ia berasaskan misi Nabi s.a.w : (maksudnya)
“Kami (Allah) tidak utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan rahmat untuk
sekelian alam” (Surah al-Anbiya 107)
Suami Isteri
Hubungan suami isteri dibina atas cinta dan rahmat. Ia tidak dibina atas
selera seks semata tanpa rasa kasih dan rahmat. Tidak juga atas kehendak wanita
yang mahukan nafkah dan tempat tinggal semata. Jika hanya atas selera seks,
atau atas keperluan untuk makan dan pakai ataupun kepentingan yang lain tanpa
ikatan cinta dan rahmat, kehidupan suami isteri tidak akan bahagia. Itu
sebenarnya hubungan untuk mengambil kesempitan atas kepentingan tersendiri
antara pasangan. Akhirnya ia akan melahirkan rasa tidak puas hati dan
kebencian. Rasa cinta dan kasih simpati dalam hubungan pasangan adalah fitrah
alam ciptaan Tuhan. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan di antara tanda-tanda kebesaranNYA, bahawa Dia menciptakan untuk kamu
pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang mesra dengannya, dan
dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas
kasihan). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi
orang-orang yang berfikir”. (Surah ar-Rum, 21)
Sesiapa yang kononnya mencintai ataupun dicintai pasangannya hanya kerana
kedudukan ataupun hartanya maka sesungguhnya dia sedang hidup di luar dari ‘
natural
design’ yang Tuhan tetapkan untuk kehidupan pasangan suami-isteri. Sesiapa
yang disayangi kerana harta ataupun kedudukannya semata, hakikatnya dia tidak
disayangi ataupun dicintai tetapi sedang dikhianati. Apabila kedudukan dan
hartanya hilang, maka dia akan melihat kepalsuan kehidupan.
Maka isteri yang hanya mementing harta dan pangkat dalam hubungan, bukanlah
isteri dalam ertikata sebenar. Dia tidak patut menduduki tempat ‘
seorang
isteri’ dalam kehidupan seorang lelaki. Isteri yang seperti itulah yang
telah merosakkan reputasi ramai pemimpin dunia ini. Wanita yang seperti itu
patut ‘
dipecat’ dari kerusi isteri.
Begitulah juga jika sesiapa yang memiliki suami yang hanya mahukan seks
semata, tanpa memberikan belaian kasih sayang. Tubuh diratah rakus, disetubuhi
sepuasnya tapi dalam masa yang lain dimaki hamun, ataupun dipukul dan dihina
semahunya. Lelaki yang seperti itu tidak layak menduduki tempat sebagai suami
dalam kehidupan. Jika seorang wanita memiliki suami seperti itu, dia sepatutnya
menggunakan peruntukan syarak seperti
khulu’ dan
fasakh agar
lelaki seperti itu tidak hadir dalam hidupnya dan tidak lagi menjamah tubuhnya.
Andainya ada pegawai yang menasihati ‘
jangan minta cerai, sabar!’ itu
menunjukkan dia pegawai agama yang malas membuka fail, ataupun jahil tentang
tabiat penciptaan kehidupan yang Allah jadikan. Sabda Nabi s.a.w mengherdik
lelaki seperti ini dengan menyatakan:
“Sengaja seseorang kamu memukul isterinya bagaikan hamba sahaya kemudian
menyetubuhinya di waktu lain” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ibubapa
Hubungan antara keluarga juga hendaklah atas cinta dan belas kasih. Seorang
anak hendaklah dibesarkan atas belas kasih, bukan kebencian ibubapa. Untuk itu
dalam al-Quran, Allah mengajar kita berdoa kepada kedua ibubapa dengan
menyatakan (maksudnya)
“Katakanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua seperti mereka
mendidikku semasa kecil” (Surah al-Isra, 24).
Walaupun arahan ini ditujukan kepada anak, tetapi ia pengajaran buat ibubapa
agar mendidik anak dengan belas kasihan. Jika ibubapa tidak mendidik anak
dengan belas kasihan semasa kecil, maka bagaimana mngkin doa ini akan sesuai
untuk mereka nanti?!
Bapa ataupun ibu yang zalim, memukul ataupun menyeksa anak dengan cara yang
salah adalah manusia yang tidak layak memikul gelaran ibu ataupun bapa. Ibu
bapa yang menengking anak bukan pada tempatnya atau memaki hamun anak dengan
bahasa yang buruk dan jelik bukan pendidik yang layak mendapat doa al-Quran
tadi. Mereka inilah yang merosakkan masa depan dan kehalusan budi serta akhlak
anak-anak. Hubungan asal anak dan ibubapa yang berasas cinta dan rahmat
bertukar menjadi dosa dan kebencian.
Maka tidak hairan jika ibubapa yang cuai itu dilupai oleh anak mereka
apabila dewasa nanti. Perbuatan melupai ibubapa itu tidak baik, tetapi
kehilangan rahmat akan menghilangkan segalanya. Apabila melihat Nabi s.a.w
mencium cucu baginda al-Hasan bin ‘Ali, Al-Aqra’ bin Habis berkata bahawa dia
mempunyai sepuluh orang anak, tiada seorang pun dia pernah cium. Nabi s.a.w
berkata kepadanya:
“Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia tidak akan dikasihi” (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Sahabat
Hubungan antara sahabat juga demikian. Sahabat sejati bukan sekadar kerana
ada kepentingan tertentu, tetapi hubungan kasih dan rahmat. Dalam hadis Nabi
s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka
bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu
kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para
sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”. Jawab
Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada
hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah,
sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya.
Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika
manusia berdukacita”. Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya)
“Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak
pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh
al-Albani).
Pemerintah
Hubungan rakyat dan pemerintah juga demikian. Ia bukan hubungan pihak yang
kuat menentang pihak yang lemah. Bukan hubungan kuasa, cukai, harta dan
ketaatan membabi buta. Ia hubungan kasih dan rahmat. Di atas kasih dan rahmat,
ketaatan diberikan dan kuasa dilaksanakan. Sabda Nabi s.a.w
“Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka
mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang
jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu
melaknat, mereka juga melaknati kamu”. (Riwayat Muslim).
Marilah kita memastikan cinta dan rahmat itu sentiasa subur dan berkembang
dalam masyarakat kita. Kita tidak boleh hidup dengan kebencian, kita hanya
boleh dan wajar hidup dengan cinta dan rahmat. Kehidupan yang dibina atas
kebencian hanya akan merosakkan fitrah insani yang Allah ciptakan. Kembali
kepada syiar Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia pula
tidak akan dikasihi”
sumber : http://drmaza.com/home/?p=2862