Wednesday, 8 November 2017

Mengapa HARIMAU MALAYA Tidak Pernah Layak ke Piala Dunia? Fakta Ini Pasti Mengejutkan ..




Mengapa HARIMAU MALAYA Tidak Pernah Layak ke Piala Dunia? Fakta Ini Pasti Mengejutkan ..


Pertandingan Piala Dunia Bolasepak 2010 di Afrika Selatan sudah hampir ke penghujungnya. Sudah hampir sebulan peminat bolasepak di Malaysia bersorak menyaksikan pertarungan antara negara-negara selain daripada negara tanahair mereka sendiri.


Dalam keghairahan bersorak pasti ramai yang tertanya, ‘Bilalah agaknya pasukan kebangsaan Malaysia akan beraksi di pusingan akhir Piala Dunia?’



Melihat pada prestasi pasukan kebangsaan sepanjang beberapa tahun yang lalu, agak mustahil Malaysia dapat beraksi di pentas Piala Dunia. Senarai ranking mutakhir Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) meletakkan Malaysia di tangga 146, setaraf dengan ‘gergasi’ bolasepak yang lain seperti Turkmenistan, Burundi dan Madagascar.



Walhal, kurang 30 tahun yang lalu pasukan bolasepak kebangsaan duduk setaraf dengan Jepun dan Korea Selatan yang sudah berturut kali layak ke pusingan akhir Piala Dunia.

Saya sempat menyaksikan pertarungan antara Malaysia dan Jepun sebanyak dua kali di Stadium Merdeka pada tahun 1980-an. Pertamanya di peringkat separuh akhir Pestabola Merdeka 1986: Malaysia menang 2-1 dalam masa tambahan. Perlawanan kedua ialah di pusingan kelayakan Piala Asia 1988: Malaysia tewas 0-1.



Sekarang, sekiranya Malaysia berjaya menewaskan Jepun ataupun tewas tipis di tangan mereka, pasti dianggap kejayaan yang sangat besar. Walaupun tewas 0-1 pada tahun 1988, hakikatnya Malaysia pada perlawanan tersebut menguasai pasukan Jepun sepanjang tempoh perlawanan. Kekalahan tipis ketika itu dianggap cukup mendukacitakan.



Kemerosotan pasukan bolasepak kebangsaan boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Yang pasti, kemerosotan ini banyak mencerminkan beberapa perkara ‘pelik’ yang berlaku di dalam negara.



Pertama, jika dilihat pada barisan pemain kebangsaan sekarang, sudah tidak ada lagi pemain berbangsa Cina yang menyarung jersi kebangsaan. Malah, hanya S. Kunalan, pemain dari Negeri Sembilan yang merupakan pemain bukan Melayu tunggal yang sering turun dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan.

Sudah pasti kemerosotan prestasi pasukan bolasepak kebangsaan bukan kerana tiadanya pemain berbangsa Cina. Cuma, apa yang berlaku ialah menularnya polarasi kaum dalam arena sukan negara.



Bolasepak kini boleh dianggap sukan untuk kaum Melayu sahaja, manakala kaum Cina lebih tertumpu pada acara sukan lain seperti bola keranjang dan bola tampar . Dalam bersukan pun sudah kurang integrasi antara kaum! Bukankah ini sesuatu yang amat menyedihkan?



Saya percaya kepelbagaian kaum dalam sebuah pasukan bolasepak ada manfaatnya. Lihat saja pada pasukan Jerman dalam kejohanan Piala Dunia kali ini. Dalam kesebelasan utama pasukannya yang membenam England dan Argentina, ada permain yang berbangsa Turki, ada yang berasal dari Ghana dan Tunisia, dan di bangku simpanan ada pemain-pemain yang berasal dari Sepanyol dan Brazil.



Pemain-pemain ini membawa pembaharuan dalam corak permainan pasukan Jerman. Jika sebelum ini mereka dianggap hanya bergantung kepada disiplin dan organisasi permainan yang tinggi, pasukan Jerman kali ini dilihat mempamerkan aksi menyerang yang baik dan kreatif.

Jangan dipolitikkan sukan




Pasukan kebangsaan Malaysia dahulunya punya kelebihan ini.

Pemain-pemain Melayu dan India lebih exspresif mempamerkan skil permainan manakala pemain-pemain berbangsa Cina dan Sikh punya daya tumpuan dan disiplin yang tinggi. Maka, tidak hairan jika dilihat pada senarai pemain kebangsaan pada tahun 1970-an dan awal 1980-an, tembok pertahanan negara dibarisi pemain-pemain seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Lee Kin Hong dan Serbegeth Singh; dan tonggak serangan digalas pemain seperti Mokhtar Dahari, Shukor Salleh, Hassan Sani dan Zainal Abidin Hassan.



Budaya yang berbeza membawa gaya permainan yang berbeza, dan ini membawa manfaat bila diadun dengan sempurna.



Seperkara lagi yang menyedihkan dalam bolasepak negara ialah penglibatan ahli-ahli politik. Memang benar, daripada sudut kewangan penglibatan ahli-ahli politik itu membawa manfaat. Mereka mampu menarik dana yang diperlukan untuk mengurus persatuan bolasepak tempatan. Selain daripada itu, penglibatan mereka sebenarnya tidak perlu.



Saya tidak faham misalnya mengapa jawatan presiden persatuan-persatuan bolasepak negeri sering dipegang menteri-menteri besar. Tidak cukupkah kerja di pejabat menteri besar sehingga perlu mencari kerja tambahan mengurus persatuan bolasepak? Mengapa tidak dibiarkan sahaja pentadbir profesional mentadbir dan membuat keputusan?



Saya percaya ramai menganggap penglibatan ahli-ahli politik ini tidak lebih daripada usaha mencari publisiti murahan.

Kita tidak mahu ahli-ahli politik masuk campur kerana tidak mahu ‘penyakit politik’ meresap dalam bolasepak. ‘Penyakit’ yang paling ketara ialah kurangnya fokus pada rancangan jangka panjang. Banyak dana dan tenaga lebih tertumpu pada kejayaan serta merta. Siapa di kalangan ahli-ahli politik yang mahu membuang masa merancang pelan jangka panjang seperti ‘Malaysia ke Piala Dunia 2018’? Tahun 2018 itu sangat jauh dan jangka hayat politik mereka mungkin tamat sebelum itu.



Sekiranya perancangan rapi dibuat, saya percaya pasukan bolasepak kebangsaan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Saiz dan tubuh pemain yang kecil tidak lagi boleh dijadikan alasan.



Pemain-pemain Jepun dan Korea Selatan sudah membuktikan ia bukanlah penghalang untuk mengecap kejayaan. Kejayaan pasukan kebangsaan merangkul pingat emas Sukan SEA tahun lalu perlu dijadikan asas kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Bersorak untuk pasukan Brazil, Sepanyol dan Argentina dalam pertandingan Piala Dunia banyak membawa kepuasan. Namun, bagi setiap peminat bolasepak di tanahair, tidak ada yang lebih memuaskan dan membanggakan daripada bersorak untuk pasukan Malaysia dan mendengar lagu Negaraku berkumandang di stadium. Bilalah agaknya impian ini boleh menjadi kenyataan?



Kredit: cpiasia



Sumber : https://pisangdaily.com/mengapa-harimau-malaya-tidak-pernah-layak-ke-piala-dunia-fakta-ini-pasti-mengejutkan/

Wednesday, 5 April 2017

JUTAWAN COKLAT KANDOS ‘TERKUBUR’ DI SELAT MELAKA



SEKITAR lewat 70-an dan awal 80-an, coklat kandos begitu popular di Malaysia.
Bagaimanapun, ramai yang tidak mengetahui pengasas syarikat Kumpulan Syarikat Upali, Philip Upali Wijewardene yang mengeluarkan coklat itu di negara ini, hilang bersama pesawat peribadi yang dinaiki selepas dipercayai terhempas di Selat Melaka.

Mayat tokoh yang terkenal dengan gelaran ‘Raja Koko’ atau jutawan Mr Kandos itu bersama empat rakan termasuk juruterbang, tidak ditemui sehingga kini.
Dalam kejadian yang berlaku pada 14 Februari 1983, pesawat peribadinya, Jet Lear LR35 dipercayai terhempas ketika penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Subang menuju ke Colombo, Sri Lanka.

Pesawat yang turut membawa rakyat Malaysia, S M Ratnam berlepas dari Subang kira-kira jam 8.40 malam dan dijangka tiba di Sri Lanka pada jam 12.11 pagi. Bagaimanapun, kira-kira 10 minit berlepas, pesawat dilaporkan hilang daripada radar pada kedudukan 100 kilometer nautika dari Subang.
Berikutan kehilangan pesawat itu, Malaysia, Indonesia, India dan Sri Lanka segera menubuhkan pasukan khas menjalankan operasi mencari di lokasi kejadian.

Malah, Singapura, Amerika Syarikat dan Russia turut menyertai pasukan itu bagi mengesan setiap inci Selat Melaka termasuk menggunakan kapal pengesan periuk api (logam), namun masih gagal menemui pesawat yang dipercayai terhempas di perairan itu.

Usaha mencari mangsa di sekitar Selat Melaka dihentikan setahun kemudian kerana tiada bukti atau penemuan baru ditemui untuk dijadikan petunjuk menyebabkan pasukan mencari menemui jalan buntu. Mungkin secara kebetulan, seorang tukang tilik pernah meramalkan Upali akan mati sebelum berusia 45 tahun dan ramalan itu dibuat kira-kira 20 tahun sebelum nahas berlaku.

Tilikan pada simbol bintang kelahirannya menunjukkan, Mr Kandos itu akan berkubur di kawasan berair. Kira-kira enam bulan sebelum nahas, Upali memiliki pesawat peribadi Jet Lear LR35 dengan membuat pinjaman syarikat kewangan di New Zealand pada Ogos 1982.

Mengikut perancangan awal, beliau sepatutnya berkunjung ke Australia untuk meninjau kuda tetapi membatalkan perjalanan dan menukar jadual penerbangan ke Malaysia sebelum dilaporkan hilang.
Sehingga kini, kehilangan Upali sering diperkatakan masyarakat Sri Lanka, malah peristiwa itu dimuatkan dalam laman web akhbar miliknya, The Island kerana beliau dianggap lagenda di negaranya kerana bercita-cita besar dan berjaya dalam perniagaan sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat.

Menyingkap kronologi kejadian, kira-kira 10 minit berlepas dari Subang, radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan jet itu di skrin radar tetapi `blip’ pesawat hilang beberapa minit kemudian. Kehilangannya mungkin disebabkan pesawat itu diterbangkan pada aras rendah.

Kira-kira jam 8.56 malam, hubungan radio antara juruterbang Jet Lear LR35 dengan pegawai di menara kawalan terputus. Juruterbang Balkan Air, Kapten Raihov dilaporkan mendengar kawat radio jet Lear LR35 (November 482 Uniform Menara Colombo… kamu mendengar kami? (Nov 482 adalah nama rahsia untuk pesawat Lear LR35) ketika berada dalam penerbangan ke Soviet.

Agak menghairankan, sejak hari kejadian, pasukan mencari dan menyelamat langsung tidak menemui sebarang bukti atau petunjuk tempat nahas berlaku, sekurang-kurangnya cebisan pesawat. Kini, fail siasatan juga sudah ditutup kerana menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bersedia membuka semula fail jika terdapat penemuan baru tetapi kini kertas siasatan itu dianggap sebagai fail mati dan tidak lagi menjadi keutamaan jabatan.
Berikutan kegagalan mengesan pesawat, pelbagai andaian dibuat, ada mengatakan pesawat itu disabotaj termasuk diletupkan tetapi ia tidak tepat kerana tiada sebarang bukti ditemui mengaitkan kegiatan itu bahkan keluarga mangsa tidak pernah menerima sebarang ugutan atau wang tebusan.

Kronologi siasatan:

16 Februari 1983

Siasatan awal DCA Malaysia mendapati pesawat bergerak terlalu pantas. Radar TUDM Butterworth mengesan pesawat itu dari ruang udara Batu Arang dan tujuh minit kemudian tidak kelihatan di layar radar jam 8.56 malam Ahad (hari kejadian).
Jam 9.03 malam lampu `blip’ pesawat padam dan hilang pada skrin radar. Ketika itu pesawat berkenaan berada kira-kira 20 batu nautika dekat pantai Sumatera.
Pasukan khas Malaysia menghentikan operasi mencari dan menyelamat tetapi anggotanya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia memberi bantuan jika diperlukan pasukan Indonesia.

17 Februari 1983

Satu bungkusan alat keselamatan dipercayai milik jet Lear LR35 ditemui seorang nelayan kira-kira 60 batu nautika ke timur Medan, Selat Melaka. Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati bungkusan itu bukan milik jet berkenaan.

19 Februari 1983

Serpihan pesawat ditemui di Pulau Berhala, Indonesia. Pihak berkuasa menafikan ia milik jet Lear LR35 kerana serpihan yang ditemui itu diperbuat daripada gentian kaca, sebaliknya pesawat malang berkenaan adalah daripada besi.

28 Januari 1984

DCA Malaysia, Indonesia dan Sri Lanka mengumumkan secara rasmi pemberhentian siasatan dan operasi mencari pesawat Lear LR35 kerana rangkanya gagal ditemui.
Info:

Mangsa nahas, Philip Upali Wijetawardene, S M Ratnam (rakyat Malaysia); A S Peli Mahendran (Pengarah Perdagangan Upali); A Senanayake (pramugara); Kapten Anandappa (juruterbang); dan Kapten Soyza (juruterbang).

Upali memiliki perusahaan koko dan kelapa seluas 2,000 hektar di Perak melalui penubuhan Syarikat Kirul Malaysia Berhad

Perniagaan usaha sama dengan Kerajaan Sabah, memiliki 20,000 hektar ladang koko.
Upali dilahirkan pada Februari 1938.

Menimba pengalaman bekerja dengan Lever Brothers dan mula meneroka bidang perniagaan dengan mengasaskan Kumpulan Syarikat Upali, bermula dengan menghasilkan gula-gula jenama ‘Delta’.

Gelaran jutawan membolehkan beliau memiliki kenderaan mewah, Mercedes Benz S-Class 126 yang diimport dari Malaysia, yang juga kereta pertama seumpamanya yang dimiliki rakyat Sri Lanka.

Sering berkunjung ke Malaysia bersama sahabatnya, Gamini S Korala yang menetap di Singapura dan beliau sering memandu kereta Mercedes rakan karibnya itu.
Selain kenderaan mewah, Upali turut memiliki pesawat Cessna Citation yang boleh terbang ke Singapura, Kuala Lumpur dan Bangkok.

Kira-kira dua tahun sebelum kehilangan misterinya, Upali memenuhi impian untuk memiliki syarikat persuratkhabaran sendiri, Upali Newspapers Ltd yang menerbitkan akhbar The Island and Divaina.

SUMBER BH
http://www.syahrilkadir.com/jutawan-coklat-kandos-terkubur-di-selat-melaka/