Daging Korban
Tidak Boleh Dijadikan Sebagai Upah Kepada Tukang Lapah Atau Tukang Sembelih
Sudah pasti menjelang musim perayaan Aidiladha ini
ramai antara kita yang melakukan ibadah korban dengan menyembelih Lembu,
kambing, Kerbau atau unta.
Di
dalam masyarakat kita sekeliling seperti admin sendiri, sudah pasti ramai akan
datang menolong menyembelih dan melapah daging haiwan yang dikorbankan akan
diberi daging korban tersebut sebagai upah.
Sehingga
saat ini, admin sendiri terbaca artikel yang ditulis oleh Mufti Perlis, Dato Dr
Asri Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza di dalam blognya Minda
Tajdid bahawa perbuatan memberikan daging korban kepada penyembelih dan tukang
lapah adalah adalah dilarang.
Kenapa Dilarang
Perlu
diketahui bahawa daging korban tidak boleh dijual oleh si pembuat korban jadi
dalam erti kata lain adalah haram melakukan sistem jual beli sama ada dengan
cara tukaran wang atau tukaran tenaga kerja.
Jadi
apa sahaja transaksi yang membawa erti ‘menjual binatang yang telah
dikorbankan’ samada dengan tukaran duit atau tenaga atau selainnya, adalah
dilarang.
Ini
kerana para fuqaha (sarjana fekah) bersependapat bahawa adalah haram hukumnya
daging sembelihan korban (al-adhiyah) itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam
Bidayah al-Mujtahid:
“Pada
pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging
korban” (1/703, Beirut: Dar al-Khair)
Upah Hasil Korban
Secara
umumnya menjual daging korban oleh pembuat korban itu dilarang ini telah
diketahui oleh kebanyakan kita. Namun ada yang terlupa bahawa syarak juga
menetapkan bahawa memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau
sebagai sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam
hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja.
Larangan
memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah
termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan
Muslim. Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:
“Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku
menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar
aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu
(seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak
memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.”
(Riwayat al-Bukhari Muslim).
Di
dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali: “Kami
memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.
Ya,
walaupun hadis di atas berkaitan dengan sembelihan haji namun sama juga
hukumnya dalam masalah korban. Apa yang penting ialah larangan menjadikan
sembelihan yang disembelih bagi melaksanakan suatu tuntutan ibadat sebagai
bahan jual beli, iaitu membeli tenaga kerja dengan bayaran daging sembelihan
korban atau al-hadi (sembelihan haji).
Ini
telah dijelaskan oleh al-Imam as-Son `ani dalam Subulus as-Salam, katanya:
“Hadis ini menunjukkan bahawa
disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binantang korban sepertimana
disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau
pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan
kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum
sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh
diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (4/148.
Beirut: Dar al-Ma’rifah)
Dengan
hadis di atas jelas bahawa dilarang sesiapa yang melakukan korban memberikan
daging atau apa-apa bahagian yang boleh dimanfaatkan dari binatang korban
kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah, seperti memberi daging atau kulit
atau apa yang ada dibelakang binatang tersebut seperti pelana dan lain-lainnya.
Sehingga al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim mengkritik pendapat Hasan
al-Basri yang membenarkan diberikan kulit kepada penyembelih atau pelapah.
Al-Imam an-Nawawi terus mengulas ringkas pendapat ini dengan katanya:
“Pendapat
ini telah memcampakkan (membelakangi) sunnah” (juz. 9 m.s. 435 Cetakan Dar
al-Khair, Beirut)
Ketika
mengulas Saidina Ali bin Abi Talib di atas, al-Imam al-Imam an-Nawawi
menyatakan dalam Syarh Sahih Muslim:
“Hadis ini meminta agar kita tidak
memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban
kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya
dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan
Dar al-Khair, Beirut).
Maksud
al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging korban
sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya
yang lain iaitu al-Majmu’ sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`,
katanya:
“Telah
sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh
sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban
dijual. Samada ia korban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit,
tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah
untuk penyembelih ..”(8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)
Kata
al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar:
“Tidak boleh dijadikan bahagian dari
korban itu sebagai upah untuk penyembelih walaupun korban itu adalah korban
sunat.( m.s 149. Beirut: Dar So`ab)
Kata
al-Syeikh Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris dalam kitabnya Ahkam al-Zabaih fi
al-Islam:
“Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang
melakukan korban memberi walaupun sedikit bahagian korban kepada penyembelih
sebagai upah sembelihan atau melapah.( m.s. 143. Ctk.: Jordan: Maktabah
al-Manar)
Seperti
yang ditegaskan tadi bahawa termasuk dalam larangan ini ialah memberikan
bahagian korban kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengurusan korban
atas dasar upah atau kerja yang dilakukannya.
Beri Upah Asing
Mungkin
akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa
ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadis-hadis
tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih atau pelapah.
Larangan
dalam hadis-hadis berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban.
Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian
korban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatut
kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. Sebab itu dalam riwayat tambahan
al-Imam Muslim yang disebutkan tadi, Saidina Ali menyebut: “Kami memberikan
kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri”. Ertinya mereka akan
tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari
wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak diambil dari bahagian korban.
Setelah
melihat penjelasan ringkas ini maka perlulah kita sedari kalaulah amalan ini
diteruskan iaitu mengambil mana-mana bahagian dari binatang korban yang
disembelih samada daging, kulit atau sebagai upah bererti kita telah merosak
pahala korban yang dijanji. Kata Mustafa al-Khin dan
Mustafa
al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh korban di dalam mazhab
al-Syafi`i:
“Tidak boleh untuk sesiapa yang
melakukan korban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah
sembelihan, kerana ini mengurangkan apa yang dikorbankan dan merosakkannya”.(
juz 1 m.s.235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.)
Syarat Dibolehkan
Walau
bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian korban dibolehkan
sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur
dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan
kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan
kepadanya. Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan
maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap
sebagai upah. Ia merosakkan korban. Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami
wa Adillatuh:
“Jika diberi kepada penyembelih dari
apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak
mengapa“. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)
Ini
seperti memberikan kepada penyembelih di atas dasar kemiskinan atau
persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap
akan diberikan.
Dalam
contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah
mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging
kepada orangramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas
dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam
bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak
lagi di atas dasar upah dari bahagian korban kerana upah yang sebenar telah
mereka perolehi.
Kata
as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan
al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian korban kepada penyembelih jika
dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain
(selain dari bahagian korban). (5/221. Beirut: Dar al-Jil)
Apa yang dikehendaki dari keterangan di atas, agar bahagian yang diperolehi oleh penyembelih atau pelapah atau petugas itu tidak disebabkan oleh kerja yang dilakukannya. Jika ini berlaku bererti telah melanggar larangan Rasulullah dan membatalkan korban.
Apa yang dikehendaki dari keterangan di atas, agar bahagian yang diperolehi oleh penyembelih atau pelapah atau petugas itu tidak disebabkan oleh kerja yang dilakukannya. Jika ini berlaku bererti telah melanggar larangan Rasulullah dan membatalkan korban.
Setelah
kita melihat dalil yang sohih iaitu larangan baginda Nabi dalam hal ini serta
ulasan yang jelas yang dibuat oleh para ulama, maka hendaklah kita menjaga agar
tidak melanggarnya.
Cara
penyelesaiannya telah ditunjukkan oleh Saidina `Ali di dalam hadis yang yang
diriwayatkan oleh al-Imam Muslim tadi iaitu kita memberikan upah dari duit kita
sendiri bukan dari bahagian korban yang mengakibatkan rosaknya korban yang kita
lakukan.
Sesungguhnya
sikap bakhil atau mengambil kesempatan melepaskan diri dari upah wang ringgit
kepada penyembelih atau pelapah dan seumpamanya dengan cara memberikan daging
atau bahagian korban kepada mereka adalah lambang ketidaktulusan.
- Siakapkeli.my
http://www.ommdotmy.com/2015/09/daging-korban-tidak-boleh-dijadikan-sebagai-upah-kepada-tukang-lapah-atau-tukang-sembelih/