Wednesday, 30 December 2015

PROGRAM SAMBUTAN MAULIDURRASUL PERINGKAT KAMPUNG LOT FASA 3, KAMPUNG TANJUNG BUNDUNG.


PROGRAM SAMBUTAN MAULIDURRASUL PERINGKAT KAMPUNG LOT FASA 3, KAMPUNG TANJUNG BUNDUNG, KOTA SAMARAHAN, diadakan Pada 27 Disember 2015 (Ahad) Bersamaan 15 Rabiulawal 1437H bertempat di Masjid Al-Muttaqqin Bahagian Samarahan.

Bagi Memeriahkan majlis tersebut, Kumpulan zikir Al-Qayum merupakan Penganjur program telah menjemput Kumpulan Zikir Ar-Rahman dari Lot Fasa 1 Kampung Tanjung Bundung, Majlis di mulakan seawal jam 8.30 pagi di mulakan dengan majlis zikir dan diselitkan dengan Tazkirah Ringkas dari Ustaz Khalidi bin Ayub.

Semoga Program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang.









Tuesday, 29 December 2015

Program “Reunion Ex-Student SMK Muara Tuang 1989 – 1993”

Program “Reunion Ex-Student SMK Muara Tuang 1989 – 1993”
Ucapan Wakil Pelajar Encik Mazlan bin Morshidi
Program “Reunion Ex-Student SMK Muara Tuang 1989 – 1993” merupakan majlis perjumpaan/perhimpunan bekas pelajar Sekolah Menengah Kerajaan Muara Tuang yang menuntut sekitar tahun 1989 sehingga 1993 (SPM). Ini adalah merupakan program pertama yang diadakan untuk sesi tahun tersebut. Ini bukan sahaja merupakan medan pertemuan semula bagi bekas pelajar malah ia sebagai wadah menjalinkan semula hubungan ukhwah bekas-bekas pelajar dan pendidik.

Program di adakan pada 19 Disember 2015 hari sabtu dan bertempat di Penview Hotel, Kuching, Sarawak pada jam 11.00 pagi.  Antara Tujuan Program ini adalah untuk mengimbas kembali kenangan zaman persekolahan yang pasti akan menjadi agenda utama di samping mengeratkan perhubungan samada di pihak rakan-rakan bekas pelajar mahupun bekas pendidik yang pernah mengharungi pahit  getir serta kenangan manis semasa masih menuntut di SMK Muara Tuang dari 1989 hingga SPM 1993.


Ucapan Wakil Guru Cikgu Sapuan bin Haji Piee

Gambar Kenangan Bagi Semua Yang Hadir
 Program ini telah berjaya mengumpulkan seramai 45 orang termasuk 10 orang guru.

Majlis bermula dengan mengalukan ketibaan para bekas pelajar dan guru, diikuti bacaan doa oleh Encik Abdul Ghani bin Junaidi. Majlis diteruskan dengan ucapan wakil Pelajar Encik Mazlan bin Morshidi dan Cikgu Sapuan bin Piee Selaku wakil Guru.

Majlis di meriahkan lagi dengan acara memotong kek sebagai simbolik program, diikuti dengan merakam gambar untuk kenangan bagi semua yang hadir dan majlis diteruskan lagi dengan persembahan dari bekas pelajar dan guru serta diserikan lagi dengan acara cabutan nombor bertuah.

Dan diakhir majlis, bekas-bekas pelajar dengan di ketuai oleh Encik Mazlan Morshidi menyampaikan cenderahati sebagai kenang kenangan kepada bekas-bekas guru yang pernah mendidik mereka pada 22 tahun lepas.
Acara Memotong Kek (Simbolik Program)

Cabutan Bertuah
Pihak ahlijawatankuasa berharap agar Program “Reunion Ex-Student SMK Muara Tuang 1989 – 1993” ini nanti akan menjadi titik permulaan untuk menggabungkan semua bekas pelajar dalam satu jumlah yang lebih besar pada masa akan datang akan berhasi

Perlaksanaan program bagi yang pertama kali diadakan ini merupakan titik permulaan selepas 22 tahun menninggalkan bangku sekolah untuk menjana atau merancakkan lagi program yang seterusnya nanti. Bermakna ini bukanlah hanya untuk perjumpaan semata-mata tetapi bagi menguatkan kerjasama serta mengeratkan silaturrahim di kalangan bekas pelajar dan guru. 

Penyampaian Cenderahati ke pada bekas Guru

Cabutan Bertuah

Dengan harapan yang tinggi kepada misi selepas ini agar semua ahlijawatankuasa berharap kerjasama dan komitment semua adalah yang terbaik.

Monday, 30 November 2015

MENYUSAHKAN AKAD NIKAH - DR MAZA.COM


MENYUSAHKAN AKAD NIKAH

Saya juga amat sedih melihat ada kalangan tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz ijab qabul ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.

Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambarkan persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut ‘saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti mana yang disebut oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.

Sarjana fekah zaman ini Dr Abd al-Karim Zaidan r.h. dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut: “Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: "Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (rujukan: Al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi:

بَاب إِذَا قَالَ الْخَاطِبُ لِلْوَلِيِّ زَوِّجْنِي فُلَانَةَ فَقَالَ قَدْ زَوَّجْتُكَ بِكَذَا وَكَذَا جَازَ النِّكَاحُ وَإِنْ لَمْ يَقُلْ لِلزَّوْجِ أَرَضِيتَ أَوْ قَبِلْتَ

(Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”).

Juga al-Imam al-Bukhari (meninggal 256H) menyebut:

وَإِذَا قَالَ لِلْوَلِيِّ زَوِّجْنِي فُلَانَةَ فَمَكُثَ سَاعَةً أَوْ قَالَ مَا مَعَكَ فَقَالَ مَعِي كَذَا وَكَذَا أَوْ لَبِثَا ثُمَّ قَالَ زَوَّجْتُكَهَا فَهُوَ جَائِزٌ فِيهِ سَهْلٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

(Apabila bakal suami berkata kepada wali (bakal isteri) kahwinkanlah aku dengannya, lalu wali berkenaan diam seketika, atau bertanya: “apa yang awak ada (mahar)?”, atau kedua mereka diam lalu wali itu berkata: “aku nikahkan engkau dengannya”, maka itu adalah harus (sah). Ada hadis mengenai hal itu yang telah diriwayatkan oleh Sahl daripada Nabi s.a.w).

Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Tiada cerita satu nafas atau sekali lafaz dalam akad seperti yang ditokok tambah oleh jurunikah. Apa yang jelas proses ijab dan qabul amatlah mudah. Syaratnya, ia lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi, ia menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.

KHURAFAT AKAD SATU NAFAS

Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut: “Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).

Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak. 


 

Sumber dari : 





Monday, 23 November 2015

Kisah Jutawan India Muslim Malaysia Yang Mewakafkan Tanah Dan Saham Bernilai Juta Ringgit





Pernahkah kita dengar cerita tentang Ahmad Dawjee Dadabhoy? Beliau merupakan seorang jutawan Malaysia berketurunan India Muslim. Di akhir hayatnya beliau mewakafkan hampir keseluruhan hartanya berupa sebidang tanah yang luas sekitar 1.2 ekar di Jalan Perak dan juga lot lot saham bernilai jutaan dolar di Bursa Saham London dan beberapa bursa saham lain.

Tanah beliau di Jalan Perak, Kuala Lumpur dibangunkan sebuah menara wakaf 34 tingkat yang hari ini dikenali sebagai Menara Wakaf Bank Islam. Bangunan yang dibina dengan modal dikeluarkan Tabung Haji itu pada tahun 2007 dengan kos RM151 juta. Hari ini disewakan sebagai pejabat Kelas A di kawasan segitiga emas yang kedudukannya tidak jauh dari KLCC.

Diberitakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pemegang amanah harta wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy ini akan menerima RM56.6 juta hasil sewaan bangunan ini selama 25 tahun. Dihari kematian beliau pada 24 Januari 1987, beliau meninggal di sebuah rumah flat kecil di Jalan Masjid India di kelilingi oleh buku-buku bacaan beliau. Tidak ada harta lain lagi bersama beliau melainkan sedikit itulah.

Selebihnya sudah diwakafkan keseluruhannya untuk ummah. Pernah keluarganya datang dari Afrika Selatan ke Malaysia. Apabila dibawa melawat tanah tanah wakaf beliau di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur, mereka menitiskan air mata melihat bertapa tingginya nilai hartanah tersebut dan tingginya ketaqwaan saudara mereka Ahmad Dawjee yang mewakafkan hartanya itu kepada ummah.

Inilah tauladan kepada kita di zaman ini sebagaimana yang kerap kita dengar kisah sahabat sahabat Nabi SAW yang meninggal dunia tanpa harta kerana mewakafkan harta mereka sebelum meninggal dunia walaupun ketika hidupnya kaya raya.

Ia juga petunjuk kepada kita bahawa agama menggalakkan kita mencari harta dan mengembangkan harta. Tetapi perlu diingat harta kekayaan itu bukanlah milik mutlak kita. Perlu dikongsikan dengan ummah berupa zakat, sedekah dan wakaf. Di hari kematian kita, tinggal di alam barzakh, pahala sedekah itu akan terus menerus berjalan. Kemudian dibangkitkan di akhirat kelak menjadi lebih kaya untuk tempoh yang tiada penghujungnya disebabkan ketinggian taqwa kita kepada Allah atas harta yang kita infakkan.

* Kisah Ahmad Dawjee Dadabhoy ini diceritakan oleh Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias (Senior Vice President Maybank Islamic/ Ketua Jabatan Pengurusan Syariah Maybank Islamic Malaysia) dalam pembentangannya di Konvensyen Pejuang Hartanah di Cyberjaya semalam. InsyaAllah saya cuba catatkan isi isi penting pembentangan beliau bertajuk ‘Islam dan Harta Membentuk Kehidupan Taiyyibah’ dan juga isi isi pembentangan speaker yang lain berkait hartanah. – Nasaie Ismail

SUMBER CERITA : MYDEBAT.COM http://mydebat.com