Tuesday, 19 April 2016

HIDUP INI BERNAFASKAN CINTA KASIH



HIDUP INI BERNAFASKAN CINTA KASIH
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Perkataan rahmat yang digunakan dalam bahasa kita berasal dari bahasa Arab. Rahmah dari kata rahima yang bermaksud kasih atau kasihan belas. Dari perkataan ini lahirnya perkataan rahim (womb), perkataan ar-Rahman dan ar-Rahim dari akar rahima ataupun rahmat dalam bahasa kita dan lain-lain lagi.
Hidup ini dibina atas cinta dan rahmat. Tanpa cinta dan kasih hancurlah kehidupan. Justeru surah-surah dalam al-Quran kesemuanya –kecuali Surah at-Taubah- bermula dengan basmalah iaitu ‘dengan nama Allah ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) Lagi ar-Rahim (Maha Penyayang)’. Hubungan Tuhan dengan manusia serta alam keseluruhannya berasaskan cinta dan kasih. Hubungan manusia dengan Tuhan juga berasaskan cinta dan kasih. Mencintai Tuhan adalah asas dalam keimanan. Sesiapa yang membenci Tuhan maka dia tidak beriman.
Dakwah Atas Rahmat

Tuhan jadikan belas kasih dan sayang sebagai asas kehidupan yang sejati. Ketika membicarakan tentang Nabi Muhammad s.a.w, Allah menyebut: (maksudnya)
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula kepada orang-orang yang beriman sangat belas sayang dan sangat rahmat (kasih) (Surah at-Taubah, 128).
Ertinya, dakwah Nabi s.a.w tidak bermula kebencian kepada mana-mana kumpulan yang tidak melancar permusuhan kepada ajaran Allah. Tidak seperti anggapan bahawa kebencian adalah asas hubungan antara muslim dengan Barat ataupun Timur, dengan Yahudi ataupun Kristian, dengan secularist ataupun agnostic ataupun selain mereka. Asas hubungan muslim dengan pihak lain bukan dengan slogan ‘permusuhan’ ataupun ‘kebencian’ seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Sebaliknya ia berasaskan misi Nabi s.a.w : (maksudnya)
“Kami (Allah) tidak utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan rahmat untuk sekelian alam” (Surah al-Anbiya 107)
Suami Isteri

Hubungan suami isteri dibina atas cinta dan rahmat. Ia tidak dibina atas selera seks semata tanpa rasa kasih dan rahmat. Tidak juga atas kehendak wanita yang mahukan nafkah dan tempat tinggal semata. Jika hanya atas selera seks, atau atas keperluan untuk makan dan pakai ataupun kepentingan yang lain tanpa ikatan cinta dan rahmat, kehidupan suami isteri tidak akan bahagia. Itu sebenarnya hubungan untuk mengambil kesempitan atas kepentingan tersendiri antara pasangan. Akhirnya ia akan melahirkan rasa tidak puas hati dan kebencian. Rasa cinta dan kasih simpati dalam hubungan pasangan adalah fitrah alam ciptaan Tuhan. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan di antara tanda-tanda kebesaranNYA, bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas kasihan). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir”. (Surah ar-Rum, 21)
Sesiapa yang kononnya mencintai ataupun dicintai pasangannya hanya kerana kedudukan ataupun hartanya maka sesungguhnya dia sedang hidup di luar dari ‘natural design’ yang Tuhan tetapkan untuk kehidupan pasangan suami-isteri. Sesiapa yang disayangi kerana harta ataupun kedudukannya semata, hakikatnya dia tidak disayangi ataupun dicintai tetapi sedang dikhianati. Apabila kedudukan dan hartanya hilang, maka dia akan melihat kepalsuan kehidupan.
Maka isteri yang hanya mementing harta dan pangkat dalam hubungan, bukanlah isteri dalam ertikata sebenar. Dia tidak patut menduduki tempat ‘seorang isteri’ dalam kehidupan seorang lelaki. Isteri yang seperti itulah yang telah merosakkan reputasi ramai pemimpin dunia ini. Wanita yang seperti itu patut ‘dipecat’ dari kerusi isteri.
Begitulah juga jika sesiapa yang memiliki suami yang hanya mahukan seks semata, tanpa memberikan belaian kasih sayang. Tubuh diratah rakus, disetubuhi sepuasnya tapi dalam masa yang lain dimaki hamun, ataupun dipukul dan dihina semahunya. Lelaki yang seperti itu tidak layak menduduki tempat sebagai suami dalam kehidupan. Jika seorang wanita memiliki suami seperti itu, dia sepatutnya menggunakan peruntukan syarak seperti khulu’ dan fasakh agar lelaki seperti itu tidak hadir dalam hidupnya dan tidak lagi menjamah tubuhnya. Andainya ada pegawai yang menasihati ‘jangan minta cerai, sabar!’ itu menunjukkan dia pegawai agama yang malas membuka fail, ataupun jahil tentang tabiat penciptaan kehidupan yang Allah jadikan. Sabda Nabi s.a.w mengherdik lelaki seperti ini dengan menyatakan:
“Sengaja seseorang kamu memukul isterinya bagaikan hamba sahaya kemudian menyetubuhinya di waktu lain” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ibubapa

Hubungan antara keluarga juga hendaklah atas cinta dan belas kasih. Seorang anak hendaklah dibesarkan atas belas kasih, bukan kebencian ibubapa. Untuk itu dalam al-Quran, Allah mengajar kita berdoa kepada kedua ibubapa dengan menyatakan (maksudnya)
“Katakanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua seperti mereka mendidikku semasa kecil” (Surah al-Isra, 24).
Walaupun arahan ini ditujukan kepada anak, tetapi ia pengajaran buat ibubapa agar mendidik anak dengan belas kasihan. Jika ibubapa tidak mendidik anak dengan belas kasihan semasa kecil, maka bagaimana mngkin doa ini akan sesuai untuk mereka nanti?!
Bapa ataupun ibu yang zalim, memukul ataupun menyeksa anak dengan cara yang salah adalah manusia yang tidak layak memikul gelaran ibu ataupun bapa. Ibu bapa yang menengking anak bukan pada tempatnya atau memaki hamun anak dengan bahasa yang buruk dan jelik bukan pendidik yang layak mendapat doa al-Quran tadi. Mereka inilah yang merosakkan masa depan dan kehalusan budi serta akhlak anak-anak. Hubungan asal anak dan ibubapa yang berasas cinta dan rahmat bertukar menjadi dosa dan kebencian.
Maka tidak hairan jika ibubapa yang cuai itu dilupai oleh anak mereka apabila dewasa nanti. Perbuatan melupai ibubapa itu tidak baik, tetapi kehilangan rahmat akan menghilangkan segalanya. Apabila melihat Nabi s.a.w mencium cucu baginda al-Hasan bin ‘Ali, Al-Aqra’ bin Habis berkata bahawa dia mempunyai sepuluh orang anak, tiada seorang pun dia pernah cium. Nabi s.a.w berkata kepadanya:
“Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia tidak akan dikasihi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sahabat

Hubungan antara sahabat juga demikian. Sahabat sejati bukan sekadar kerana ada kepentingan tertentu, tetapi hubungan kasih dan rahmat. Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”. Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”. Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah

Hubungan rakyat dan pemerintah juga demikian. Ia bukan hubungan pihak yang kuat menentang pihak yang lemah. Bukan hubungan kuasa, cukai, harta dan ketaatan membabi buta. Ia hubungan kasih dan rahmat. Di atas kasih dan rahmat, ketaatan diberikan dan kuasa dilaksanakan. Sabda Nabi s.a.w
“Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat, mereka juga melaknati kamu”. (Riwayat Muslim).
Marilah kita memastikan cinta dan rahmat itu sentiasa subur dan berkembang dalam masyarakat kita. Kita tidak boleh hidup dengan kebencian, kita hanya boleh dan wajar hidup dengan cinta dan rahmat. Kehidupan yang dibina atas kebencian hanya akan merosakkan fitrah insani yang Allah ciptakan. Kembali kepada syiar Nabi s.a.w: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia pula tidak akan dikasihi”

sumber :  http://drmaza.com/home/?p=2862

Wednesday, 30 December 2015

PROGRAM SAMBUTAN MAULIDURRASUL PERINGKAT KAMPUNG LOT FASA 3, KAMPUNG TANJUNG BUNDUNG.


PROGRAM SAMBUTAN MAULIDURRASUL PERINGKAT KAMPUNG LOT FASA 3, KAMPUNG TANJUNG BUNDUNG, KOTA SAMARAHAN, diadakan Pada 27 Disember 2015 (Ahad) Bersamaan 15 Rabiulawal 1437H bertempat di Masjid Al-Muttaqqin Bahagian Samarahan.

Bagi Memeriahkan majlis tersebut, Kumpulan zikir Al-Qayum merupakan Penganjur program telah menjemput Kumpulan Zikir Ar-Rahman dari Lot Fasa 1 Kampung Tanjung Bundung, Majlis di mulakan seawal jam 8.30 pagi di mulakan dengan majlis zikir dan diselitkan dengan Tazkirah Ringkas dari Ustaz Khalidi bin Ayub.

Semoga Program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang.









Tuesday, 29 December 2015

Program “Reunion Ex-Student SMK Muara Tuang 1989 – 1993”

Program “Reunion Ex-Student SMK Muara Tuang 1989 – 1993”
Ucapan Wakil Pelajar Encik Mazlan bin Morshidi
Program “Reunion Ex-Student SMK Muara Tuang 1989 – 1993” merupakan majlis perjumpaan/perhimpunan bekas pelajar Sekolah Menengah Kerajaan Muara Tuang yang menuntut sekitar tahun 1989 sehingga 1993 (SPM). Ini adalah merupakan program pertama yang diadakan untuk sesi tahun tersebut. Ini bukan sahaja merupakan medan pertemuan semula bagi bekas pelajar malah ia sebagai wadah menjalinkan semula hubungan ukhwah bekas-bekas pelajar dan pendidik.

Program di adakan pada 19 Disember 2015 hari sabtu dan bertempat di Penview Hotel, Kuching, Sarawak pada jam 11.00 pagi.  Antara Tujuan Program ini adalah untuk mengimbas kembali kenangan zaman persekolahan yang pasti akan menjadi agenda utama di samping mengeratkan perhubungan samada di pihak rakan-rakan bekas pelajar mahupun bekas pendidik yang pernah mengharungi pahit  getir serta kenangan manis semasa masih menuntut di SMK Muara Tuang dari 1989 hingga SPM 1993.


Ucapan Wakil Guru Cikgu Sapuan bin Haji Piee

Gambar Kenangan Bagi Semua Yang Hadir
 Program ini telah berjaya mengumpulkan seramai 45 orang termasuk 10 orang guru.

Majlis bermula dengan mengalukan ketibaan para bekas pelajar dan guru, diikuti bacaan doa oleh Encik Abdul Ghani bin Junaidi. Majlis diteruskan dengan ucapan wakil Pelajar Encik Mazlan bin Morshidi dan Cikgu Sapuan bin Piee Selaku wakil Guru.

Majlis di meriahkan lagi dengan acara memotong kek sebagai simbolik program, diikuti dengan merakam gambar untuk kenangan bagi semua yang hadir dan majlis diteruskan lagi dengan persembahan dari bekas pelajar dan guru serta diserikan lagi dengan acara cabutan nombor bertuah.

Dan diakhir majlis, bekas-bekas pelajar dengan di ketuai oleh Encik Mazlan Morshidi menyampaikan cenderahati sebagai kenang kenangan kepada bekas-bekas guru yang pernah mendidik mereka pada 22 tahun lepas.
Acara Memotong Kek (Simbolik Program)

Cabutan Bertuah
Pihak ahlijawatankuasa berharap agar Program “Reunion Ex-Student SMK Muara Tuang 1989 – 1993” ini nanti akan menjadi titik permulaan untuk menggabungkan semua bekas pelajar dalam satu jumlah yang lebih besar pada masa akan datang akan berhasi

Perlaksanaan program bagi yang pertama kali diadakan ini merupakan titik permulaan selepas 22 tahun menninggalkan bangku sekolah untuk menjana atau merancakkan lagi program yang seterusnya nanti. Bermakna ini bukanlah hanya untuk perjumpaan semata-mata tetapi bagi menguatkan kerjasama serta mengeratkan silaturrahim di kalangan bekas pelajar dan guru. 

Penyampaian Cenderahati ke pada bekas Guru

Cabutan Bertuah

Dengan harapan yang tinggi kepada misi selepas ini agar semua ahlijawatankuasa berharap kerjasama dan komitment semua adalah yang terbaik.

Monday, 30 November 2015

MENYUSAHKAN AKAD NIKAH - DR MAZA.COM


MENYUSAHKAN AKAD NIKAH

Saya juga amat sedih melihat ada kalangan tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz ijab qabul ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.

Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambarkan persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut ‘saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti mana yang disebut oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.

Sarjana fekah zaman ini Dr Abd al-Karim Zaidan r.h. dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut: “Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: "Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (rujukan: Al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi:

بَاب إِذَا قَالَ الْخَاطِبُ لِلْوَلِيِّ زَوِّجْنِي فُلَانَةَ فَقَالَ قَدْ زَوَّجْتُكَ بِكَذَا وَكَذَا جَازَ النِّكَاحُ وَإِنْ لَمْ يَقُلْ لِلزَّوْجِ أَرَضِيتَ أَوْ قَبِلْتَ

(Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”).

Juga al-Imam al-Bukhari (meninggal 256H) menyebut:

وَإِذَا قَالَ لِلْوَلِيِّ زَوِّجْنِي فُلَانَةَ فَمَكُثَ سَاعَةً أَوْ قَالَ مَا مَعَكَ فَقَالَ مَعِي كَذَا وَكَذَا أَوْ لَبِثَا ثُمَّ قَالَ زَوَّجْتُكَهَا فَهُوَ جَائِزٌ فِيهِ سَهْلٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

(Apabila bakal suami berkata kepada wali (bakal isteri) kahwinkanlah aku dengannya, lalu wali berkenaan diam seketika, atau bertanya: “apa yang awak ada (mahar)?”, atau kedua mereka diam lalu wali itu berkata: “aku nikahkan engkau dengannya”, maka itu adalah harus (sah). Ada hadis mengenai hal itu yang telah diriwayatkan oleh Sahl daripada Nabi s.a.w).

Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Tiada cerita satu nafas atau sekali lafaz dalam akad seperti yang ditokok tambah oleh jurunikah. Apa yang jelas proses ijab dan qabul amatlah mudah. Syaratnya, ia lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi, ia menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.

KHURAFAT AKAD SATU NAFAS

Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut: “Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).

Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak. 


 

Sumber dari :